JIKA lelaki sering heboh mencari kaedah mahupun ubat-ubatan untuk menguatkan tenaga batin, wanita juga tidak ketinggalan dalam hal ehwal rawatan khusus menjaga keharmonian rumah tangga ini.
Selain menjaga kecantikan luar dengan pelbagai kosmetik dan terapi, wanita terutamanya yang sedang dipanjat usia sering mencari-cari kaedah rawatan anggota dalaman yang terbaik dan selamat agar terus mampu membahagiakan suami masing-masing.
Ada beberapa kaedah popular menggunakan ramuan tradisional yang sebahagiannya diolah menggunakan kekuatan mistik atau tenaga ghaib dan ditawarkan secara meluas oleh para dukun kecantikan mahupun dukun seks.
Pernah dengar gurah vagina, tenun vagina atau tongkat gurah vagina yang kononnya mampu mengembalikan keperawanan?
Memang kedengaran agak pelik dan asing tetapi di negara ini, ia begitu popular sebagai rawatan alternatif yang banyak diiklankan di majalah dan tabloid berkaitan wanita dan alam misteri. Barangkali ini juga yang menjadikan wanita Indonesia istimewa. Ramai yang mengaku selepas mendapat rawatan itu, mereka pulih seperti masih perawan.
Gurah vagina ialah nama ramuan tradisional yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit keputihan dan menguatkan otot-otot seperti layaknya anak dara walaupun hakikatnya telah beranak pinak.
Bahan utama ramuan gurah vagina ialah akar srigunggu atau dalam bahasa saintifiknya clerodendron serratum. Bagi ahli botani, tanaman ini dikenal banyak khasiatnya untuk mengurangkan lendir penderita penyakit paru-paru atau saluran pernafasan.
Bahan alam inilah yang dimanfaatkan oleh dukun kecantikan atau dukun seks sebagai sumber perniagaan. Tetapi entah mengapa ia hanya popular di Indonesia sedangkan srigunggu juga tumbuh di negara-negara lain.
Umumnya ramuan gurah vagina diolah menjadi seperti tongkat kecil yang dimasukkan ke dalam vagina dalam tempoh dan kekerapan tertentu. Disebabkan ramuan dibentuk seperti tongkat, ada yang menggelarnya tongkat gurah vagina.
Selain itu, seiring dengan perkembangan semasa gurah vagina turut diolah menjadi kapsul untuk memudahkan penggunaannya.
Gurah vagina dikatakan cara paling selamat dan bersih berbanding cara moden seperti suntikan bagi mengembalikan cengkaman otot-otot serta menyembuhkan penyakit keputihan. Sebab itu tidak hairanlah ia kini menjadi buruan wanita.
Antara dukun paling popular menjajakan gurah vagina ciptaannya ialah Jeng Asih atau nama sebenarnya, Asih Marlyna. Ciptaannya, gurah suci vagina menjadi antara produk unggulannya.
Dia yang beberapa kali menerima anugerah atas usahanya itu, mendakwa sehingga kini gurah suci vagina masih berada dalam kedudukan teratas berbanding produk-produk lainnya.
Dengan kata lain, jelas Jeng Asih gurah suci wanita ciptaannya mempunyai spesifikasi yang tiada taranya.
``Dalam ramuan, gurah suci vagina sengaja dicampurkan air hasil sulingan getah damar serta beberapa rempah ratus. Gurah suci vagina merupakan pilihan yang tepat bagi wanita moden yang sibuk,'' katanya.
Penggunaan gurah suci vagina jelas Jeng Asih yang menawarkan khidmatnya sehingga ke luar negara terutama di negara yang banyak terdapat tenaga kerja wanita Indonesia, sangat sederhana, mudah dan bertindak balas cepat.
Bagi menghindari pemalsuan produknya berikutan namanya yang sudah tersohor, Jeng Asih hanya menjual gurah suci vagina di kliniknya di Jawa Tengah, Jakarta dan Batam.
Selain rawatan gurah suci vagina, Jeng Asih yang popular dengan gelaran Ratu Susuk Indonesia, gelaran yang diperolehnya pada tahun 1999 turut menawarkan produk-produk yang didakwanya diperoleh hasil `pertapaan' tingkat tinggi.
Antara produknya ialah Jimat Ghaib Adam Hawa, Kristal Mujarobat (khusus bagi ibu hamil supaya melahirkan anak yang sihat, cantik dan bijak) dan Pupur Ken Dedes (mengubah wajah menjadi cantik).
Produk lain Ajian Batu Pualam Kecerdasan (menguatkan ingatan), Ajian Batu Rajah Penyembuh (kemampuan menyembuhkan penyakit) dan Susuk Berlian Samber Lilin (susuk untuk ketampanan dan kecantikan abadi).
Jeng Asih dianggap dukun dan pakar kecantikan serba boleh. Dalam iklan-iklannya dia menyatakan kesediaan untuk membantu mereka yang menghadapi masalah keluarga, rumah tangga, jodoh, rezeki dan kerjaya.
``Semoga cara alternatif ini bermanfaat untuk masyarakat. Namun jangan sampai membuat kita menjadi syirik,'' katanya lagi.
Seorang lagi dukun kecantikan, yang menggelar dirinya Ibu Dewi Sedap Malam bangga dengan produk unggulan, Salulur Gurah Vagina yang menurutnya, gurah vagina ialah rawatan alternatif bagi kesihatan dan kesempurnaan wanita.
``Salulur Gurah Vagina berfungsi sangat cepat dan tidak menimbulkan kesan negatif. Bahan-bahan yang digunakan spesifik iaitu tumbuhan semula jadi yang sebahagian besarnya sangat sukar diperoleh. Selain itu ditambah dengan rumput laut serta rempah-rempah yang berbau khas,'' jelasnya.
Ibu Dewi Sedap Malam yang membuka klinik rawatan di beberapa hotel di Surabaya, Jakarta, Hong Kong, Taiwan dan kota Kudus turut menawarkan produk Ajian Susuk Ghaib (menjadikan cantik atau tampan) dan Ajian Seriasih Tunggul Ratu (menegangkan buah dada).
Mbak Har pula yang mendakwa mewarisi ilmu kuno Kanuragan Ratu Kaliyamat berkata, gurah vagina ciptaannya mengandungi ramuan bahan-bahan semula jadi dan akar-akar yang diolah berdasarkan resipi peninggalan Ratu Kaliyamat.
Mempesona
``Selain itu ditambah dengan kekuatan mistik sebagaimana dimiliki oleh Ratu Kaliyamat semasa hidupnya. Dengan menggunakan gurah ini, seorang wanita akan tampil sihat, cantik, mempesona dan memancarkan aura penuh daya pikat serta tubuhnya berbau harum,'' katanya yang membuka klinik di sekitar Jakarta.
Mengikut sejarah, Ratu Kaliyamat ialah seorang isteri yang amat setia kepada suaminya. Ketika suaminya terbunuh, dia mengganti kedudukan suaminya sebagai ketua pemerintahan.
``Dan yang mengkagumkan ialah kecantikannya yang luar biasa. Banyak raja lain yang jatuh cinta padanya, namun dia tetap bertahan sebagai janda. Istimewanya juga dia tidak kedekut untuk berkongsi ilmu kecantikan wanita dan mengajarkannya kepada orang lain,'' katanya.
Seorang lagi pengamal rawatan ini, Yulia yang membuka klinik tradisional di Jakarta Pusat mengaku mendapatkan ilmu terapi tenun vagina dari orang tuanya yang merupakan kerabat Kesultanan Solo.
Katanya, semasa remaja, orang tuanya sering mengajarnya bagaimana membersihkan alat kewanitaan dengan ramuan tradisional serta mengurut.
Yulia yang menawarkan rawatan tenun vagina berbentuk ramuan tradisional dan urut sejak lebih 15 tahun lalu, mendakwa istilah gurah vagina sebenarnya berasal darinya yang dipakainya sejak 1998.
Tetapi kini dia lebih suka menyebutnya rawatan tradisional kerana ia meliputi hal-hal yang lebih luas termasuk yang tidak hanya berkait dengan vagina sahaja.
Memang banyak jenis rawatan khusus untuk wanita. Mereka yang bermasalah atau mahu menambah kecantikan luar dan dalam tinggal memilih sahaja mana yang difikirkan sesuai dan selamat. Apa pun cara rawatan yang ditempuh dan dipilih oleh golongan wanita sebagaimana juga lelaki untuk mengekal atau menguatkan kehebatan masing-masing, mereka harus menginsafi lumrah alam. - MINGGUAN
Komentar :
Post a Comment
Berikan Komentar Anda